KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan dalam perkara yang melibatkan isu agama, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Menurutnya, perkara berkaitan agama kaum lain tidak sepatutnya dilangkaui walaupun dengan niat yang murni.
“Kalau mahu jadi juara perpaduan dia kena belajar lebih mendalam tentang ‘the do’s and the don’ts’ agama orang lain baik Islam, Hindu dan Kristian. Tanya dulu mereka yang ada autoriti,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd. Puad berkata, sehingga kini terdapat 69 laporan polis terhadap Kor Ming berkait isu itu, maka polis perlu menyiasat sama ada kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipaksa untuk menyanyi dan berpakaian seperti `Santa Klaus’.
“Dalam perkara agama kaum lain, bila terlajak perahu jangan jawab guna logik. Buruk padahnya,” katanya.
Terdahulu, Pemuda Pas Pusat dalam kenyataan berkata, sehingga kini sebanyak 69 laporan polis dibuat pihaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai latar belakang terhadap Kor Ming.
Laporan polis itu berhubung sambutan Krismas secara terbuka di premis kementerian berkenaan yang turut melibatkan kakitangan beragama Islam.
Pemuda Pas mendakwa, Kor Ming telah melanggar garis panduan Muzakarah Fatwa Kebangsaan 2005 dan hukum Irsyad Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Siri Ke-818) termasuk melibatkan simbol dan elemen bertentangan akidah Islam seperti simbol agama lain dan nyanyian bercirikan agama.
Selain itu, katanya, acara itu berlangsung di premis kerajaan dan melibatkan kakitangan Islam sehingga mencetuskan keresahan umat Islam dan menjejaskan keharmonian negara.
“Pemuda Pas mendesak PDRM menyiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta memastikan premis kerajaan tidak lagi disalahgunakan untuk acara yang melanggar sensitiviti agama.
“Agama Islam wajib dihormati sebagai agama rasmi persekutuan demi keharmonian negara,” menurut kenyataan tersebut yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook. – MalaysiaGazette