SINTOK – “Kira-kira 15 peratus populasi rakyat Malaysia terdiri daripada warga emas menunjukkan Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ pada tahun 2030.
“Bila ramai orang tua, antara masalah yang dihadapi adalah kemerosotan ingatan. Jadi dalam persediaan Malaysia ke arah mencapai status ‘negara tua’, antara inisiatif yang dicetuskan ialah alat terapi kognitif yang sangat signifikan”.
Demikian kata Pensyarah kanan Pusat Pengajian Pengkomputeran Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Noraziah Che Pa bersama penyelidik, Profesor Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr Nooraini Yusoff (Universiti Malaysia Kelantan, Rusdi Ishak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Laura Lim Sie-Yi (UUM).
Perisian teknologi itu dibangunkan melalui kajian dan penyelidikan untuk menangani masalah kemerosotan ingatan dengan mengetengahkan konsep yang mengintegrasikan permainan digital, maklum balas saraf dan intervensi psikoterapi.
Noraziah berkata, permainan digital ‘Neuro-therapy’ direka bentuk sebagai ‘proof on concept’ kepada model intervensi psikoterapi berasaskan inovasi permainan digital yang dibangunkan dan telah diuji untuk meningkatan keupayaan ingatan warga emas.
Ujarnya, permainan digital ‘Neuro-therapy’ ini juga direka bentuk khas mengikut keperluan dan spesifikasi khusus yang bersesuaian dengan kemampuan golongan tua selain keupayaan untuk simulasi mengembalikan ingatan dan menguatkan keupayaan otak.
Semasa bermain, aktiviti yang berlaku di sel neuron otak direkodkan.
Ia menunjukkan sel otak aktif semasa golongan tua bermain permainan ini.
‘Puzzle’ yang berfungsi sebagai alat terapi kognitif untuk kuatkan ingatan kerana proses berlaku berulang-ulang kali. Signal yang terhasil daripada aktiviti ini akan dihantar terus ke otak.
“Menariknya, permainan digital dilihat berupaya mengimbau kenangan lama semasa menyusun gambar ketika bermain ‘puzzle’ ini. Mereka boleh menggunakan gambar yang dekat dengan mereka misalnya makanan kegemaran, tempat yang biasa dilawati, orang kesayangan, anak-anak dan kawan-kawan,” katanya.
Menurutnya, testimoni yang dijalankan menunjukkan impak positif kepada individu yang mengalami kemerosotan ingatan antaranya penambahbaikan proses mengingat kembali ingatan serta kemahiran dan literasi teknologi maklumat dalam kalangan warga emas.
“Selain itu, ia juga sebagai usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan warga emas iaitu kita biasanya mendengar jurang digital hanya difokuskan dalam kalangan orang bandar dan luar bandar tetapi kita tidak sedar jurang digital juga berlaku antara golongan muda dan tua,” katanya.
Jelasnya, intervensi psikoterapi itu merupakan pendekatan alternatif dalam merawat penyakit berkaitan masalah ingatan seperti Alzheimer dan demensia selain menggunakan rawatan ubat-ubatan.
Lebih membanggakan, produk ini meraih 43 pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila menerima 13 anugerah inovasi, dua anugerah penerbitan, 10 penerbitan berimpak tinggi, selain pengiktirafan melalui geran penyelidikan.
Antaranya, Juara InnoPitch Challenge 2024, Pingat Emas di International Conference & Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA 2022), pingat emas di Innovation & Invention Competition (iCompEx) 2023), Anugerah Platinum dan Projek Terbaik ICT di Platinum medal, Innovation Development Through Educational Activities (IDEA’21), 1st runner up (kategori ICT & Multimedia) di Innovation & Invention Competition (iCompEx) 2023) dan pingat emas pada 4th International MalaysiaIndonesia-Thailand Symposium on Innovation and Creativity 2021 (iMITSIC 2021).
Selain itu, projek ini juga menerima anugerah Best Paper Award pada 12th Putrajaya International Conference on Children, Women, Elderly and Persons with Disabilities (PICCWED 2020); Best of the Best Paper Award pada Creative Industry International Conference 2020 (CIIC 2020).
Hasil kajian itu juga diterbitkan dalam beberapa jurnal berimpak tinggi seperti ‘Analysis of Reminiscence Elements in Game-Based Intervention for Elderly Using EEG Data, The First Artificial Intelligence and Entertainment Science (AIES) Workshop: Towards Empathic Entertainment Technology’. Kajian dan alat eksperimen yang dihasilkan telah mendapat perlindungan harta intelek daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). – MalaysiaGazette