SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah memuktamadkan laporan siasatan berkaitan isu kenderaan yang terlibat dalam kejadian tayar tertanggal sehingga mengorbankan tujuh nyawa di Melaka pada bulan lalu.
Ketua pegawai eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya sudah menyerahkan hasil pemeriksaan itu kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini untuk tindakan susulan.
Jelasnya laporan yang diserahkan itu hanya melibatkan pemeriksaan kenderaan tersebut kerana tayar yang tertanggal tidak dapat diperiksa kerana Puspakom tidak jumpa dan menerima tayar terbabit.
“Laporan yang Puspakom hantar kepada MIROS itu mengikut siasatan kami, punca berlaku kejadian tayar tertanggal daripada gandarnya.
“Gandar itu ada masalah, kami musykil sebab usianya baru setahun. Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang media.
Tambahnya, terpulang kepada MIROS dan pihak berkuasa untuk melakukan tindakan lanjut selepas menerima laporan berkenaan.
Tayar lori yang tertanggal daripada gandarnya dikatakan menjadi punca kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada 23 Disember lalu.
Nahas itu telah mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima beranak. – MalaysiaGazette