SHAH ALAM – Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menawarkan suapan sebanyak RM2,000 kepada seorang lagi pegawai jabatan tersebut sebagai upah memudahkan urusan kemasukan warganegara asing masuk ke Malaysia melalui Kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada tahun 2023.
Berdasarkan pertuduhan, Roney Irwan Mohamad Nor, 50, menawarkan suapan itu kepada Suhairel Suria di Balai Ketibaan KLIA 2.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 16 (b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Terdahulu, pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa, Muhammad Ariff Badrulhisham.
Pihak pendakwaan pada mulanya mencadangkan supaya mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM20,000.
Walau bagaimanapun, tertuduh melalui peguamnya Datuk Zamri Idrus merayu supaya jumlah ikat jamin dikurangkan kerana perlu menyara lima orang anak, selain terpaksa menanggung kos rawatan sakit jantung yang dihidapnya.
“Orang Kena Tuduh (OKT) sebagai pegawai kerajaan boleh dapatkan rawatan di hospital kerajaan namun tempoh masa menunggu agak panjang demikian jadi beliau perlu sejumlah wang untuk rawatannya di hospital swasta.
“Jadi kami mohon satu kadar yang sewajarnya mengikut budi bicara mahkamah hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.
Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000.
Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Selain itu lelaki itu diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM di Johor Bahru sekali setiap bulan selain dilarang berhubung dengan saksi kes berkenaan.
Sebagain rekod, tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di KLIA2 telah ditukarkan ke Johor Bharu.
Terdahulu, SPRM menahan 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau ‘laluan kaunter khas’.- MalaysiaGazette