KUALA LUMPUR – Bekas pemain import Kedah Darul Aman FC, Sony Norde kini mempunyai kelab baharu apabila dia disahkan menyertai Malut United di Liga Indonesia.
Malut United dalam satu kenyataan di media sosial mengumumkan ketibaan Norde bersama-sama seorang lagi pemain iaitu Jonathan Bustos.
“Selamat datang Bustos dan Norde, inilah keluarga baharu anda!,” kata Malut dalam kenyataan di Instagram kelab itu.
Norde yang berusia 35 tahun pertama kali menyertai bola sepak Indonesia selepas berkelana untuk beberapa musim di Malaysia.
Sebelum ini, Norde bermain untuk beberapa kelab di Liga Super seperti Kedah, Terengganu FC dan Melaka United FC.
Norde meninggalkan Kedah pada pertengahan musim ini selepas kemelut gaji yang tidak berkesudahan di kelab itu dengan kali terakhir dia beraksi pada perlawanan bertemu Sri Pahang FC.
Malut kini menduduki tangga ke-12 Liga 1 Indonesia dengan mengutip 22 mata daripada 17 perlawanan. – Agensi