SHAH ALAM – Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jeram, Kuala Selangor pada Selasa lalu disahkan pegawai kanan polis bertugas di Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan pegawai itu dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil.
“Difahamkan, pegawai berkenaan sedang bercuti ketika kejadian itu berlaku dan ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati negatif dadah.
“Berdasarkan rakaman video kejadian, pemandu terbabit dipercayai microsleep (tertidur sebentar). Bagaimanapun kita masih menunggu laporan daripada pihak trafik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Tambah Hussein, pegawai terbabit sedang mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan dalam kemalangan itu dan memberi jaminan siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin.
Pada 1 Januari lalu,seorang kakitangan klinik kesihatan maut apabila motosikal ditunggannya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Klang-Teluk Intan, Jeram.
Mangsa berusia 57 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Wave itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Klang ke rumahnya di Kuala Selangor.
Dalam kejadian pukul 6.11 petang itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke kawasan parit kecil di sebelah kiri jalan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Azaharudin Tajuddin melaporkan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: