KUANTAN – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di kilometer 18, Jalan Pintasan Kuantan, Gebeng, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.22 pagi.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda ADV berwarna kelabu dengan Honda Wave berwarna merah masing-masing dalam perjalanan dari arah Sungai Karang Darat menghala ke Gebeng.
“Kejadian berlaku ketika motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang tukang kimpal beralamat di Bandar Ceneh Baru, Kemaman tiba di lokasi yang berhampiran susur tapak pelupusan sampah.
“Pekerja kilang yang menunggang motosikal jenis Honda ADV dari arah belakangnya hilang kawalan dan terbabas melanggar bahagian belakang motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan terbabit, Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang menunggang Honda ADV dikenali sebagai Muhammad Mirza Mahdi, 26 dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, penunggang Honda Wave berusia 46 tahun itu pula mengalami luka di bahagian tangan kiri, kanan dan sakit di bahagian pinggang.
Wan Mohd Zahari memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette