KUALA LUMPUR – Laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berharap polis akan membuka kertas siasatan akan dibuka terhadap kedua-dua menteri tersebut.
“Sebelum ini laporan polis telah dibuat terhadap Kor Ming dan hari ini fokus laporan polis adalah terhadap Hannah.
“Jadi, kita telah berjaya membawa suara rakyat dan suara orang Islam supaya tindakan diambil terhadap kedua-dua mereka,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Himpunan Bangkit Ummah yang diadakan selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jamek, Kampung Bharu hari ini.
Mohd Hafez berharap polis dapat melakukan siasatan secara adil dan menyeluruh serta memastikan kedua-dua menteri itu dibawa ke muka pengadilan.
Himpunan itu merupakan solidariti gerakan bangkit rakyat yang terdiri daripada Dewan Pemuda Pas dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Antara isu yang dibawa dalam perhimpunan berkenaan ialah bantahan terhadap perkara buku yang ditulis oleh Hannah Yeoh sendiri iaitu Becoming Hannah: A Personal Journey dan bantahan terhadap Kor Ming berikutan isu sambutan Hari Natal di premis Kemneterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tinjauan mendapati ramai yang turut serta dalam perhimpunan aman tersebut dan memilih tema baju berwarna putih telah berarak dari Masjid Jamek, Kampung Bharu ke IPD Dang Wangi bagi membuat laporan polis dan menunjukkan solidariti mempertahankan agama Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette