KUALa LUMPUR – Senarai calon yang akan merebut jawatan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini bocor di media sosial apabila tiga legenda bola sepak negara dikhabarkan akan menjadi pencabar utama.
Nama Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Ramlan Askolani antara yang kelihatan dalam senarai kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu badan induk itu yang akan berlangsung 15 Februari depan.
Berdasarkan senarai nama yang tersebar itu, terpapar nama Zainal sebagai calon untuk jawatan Exco manakala Dollah pula sebagai jawatan naib presiden.
Turut tersebar di media sosial, nama Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang dikatakan sebagai calon utama bagi merebut jawatan Presiden FAM.
Berdasarkan senarai nama yang tersebar itu, turut tersenarai adalah nama dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram. – MalaysiaGazette