KUALA LUMPUR – UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas saranan Yang di-Pertuan Agong agar menghormati kuasa prerogatif Sultan Ibrahim untuk menggunakan saluran perundangan dengan mengemukakan rayuan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan berkata, parti mengambil pendirian untuk tidak meneruskan Himpunan Solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri itu bagi menghormati titah terbaharu Seri Paduka.
“Atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025 ini.
“UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Datuk Seri Mohd. Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam ini.
Sebelum ini, himpunan terbabit dilaporkan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.
Surat arahan daripada Pas turut tular yang menggalakkan ahli parti itu menyertai himpunan berkenaan.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 6 Januari 2025 untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO menjunjung hormat titah Sultan Ibrahim berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Asyraf Wajdi berkata, sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti – UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan Titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.
“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” jelas Asyraf Wajdi lagi.
Petang tadi, Najib menzahirkan penghargaan kepada UMNO atas sokongan yang diberikan untuk perhimpunan Solidariti 4 Najib Razak yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.
Perkara itu disampaikan oleh anaknya yang juga Ketua Bahagian UMNO Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib kepada semua ketua bahagian, ahli-ahli dan penyokong parti itu.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya tidak menyinggung UMNO malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggapnya perkara biasa dan tiada masalah dengan penyataan itu.
Malah Anwar turut berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak terlibat dalam himpunan berkenaan yang dirancang diadakan pada Isnin ini di Istana Kehakiman Putrajaya.
Guan Eng sebelum ini dilaporkan mengingatkan kepada UMNO bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya Pas termasuk dalam himpunan itu akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Jangan sertai apa juga perhimpunan anjuran mana-mana pihak – KPN
UMNO kena sound dgn Lim Guan Eng..terkincit..UMNO bacul penakut bangsat..jahanam laa ko dlm PRU nanti