Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

KUALA LUMPUR- Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberi jaminan akan terus memberi sokongan kewangan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Dalam kenyataannya, PPUM berkata, ia menawarkan pelbagai program sokongan kewangan termasuk pelan pembayaran dan pilihan kepada sokongan perubatan, sosial dan kebajikan untuk pesakit yang kurang berkemampuan secara bersasar.

Selain itu, pesakit yang sedang menikmati kemudahan subsidi sedia ada untuk perawatan perubatan tidak akan terkesan dengan kenaikan caj yang diumumkan sebelum ini.

“Penjagaan pesakit kekal sebagai keutamaan kami.

“Pelarasan ini perlu untuk memastikan kelestarian jangka panjang pusat perubatan kami dan kemampuan untuk terus memberikan penjagaan kesihatan yang mampan dan berkualiti tertinggi

“Jabatan Kewangan kami sedia membantu anda memahami perubahan ini dan membantu pesakit dengan maklumat bantuan kewangan yang tersedia. Anda boleh menghubungi kami di Unit Taksiran, Lobi Menara Selatan, PPUM atau melalui e-mel di [email protected],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

https://malaysiagazette.com/2025/01/03/ppum-naikkan-caj-bermula-1-januari/

Menurut pusat perubatan itu, pihaknya terpaksa menaikkan caj yang dikenakan kepada pesakit susulan kos teknologi perubatan yang tinggi di samping kenaikan harga bekalan guna hapus serta ubat-ubatan global yang semakin meningkat.

Selain itu, kos operasi PPUM juga meningkat dan bagi mengekalkan fasiliti yang selamat dan moden untuk pesakit, pelajar dan staf, pihaknya perlu melakukan pelaburan berterusan untuk menaik taraf kemudahan, menyelenggara dan mengurus fasiliti dan utiliti serta memastikan pematuhan standard keselamatan tertinggi.

“Pelaksanaan rasionalisasi caj ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk dilaksanakan. Namun, setelah meneliti setiap aspek yang berkaitan, tindakan perlu dibuat berdasarkan kos operasi yang semakin meningkat.

“Pelaksanaan ini juga selaras dengan usaha kami demi meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan hospital khususnya untuk memastikan penjagaan yang terbaik lepada pesakit,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan PPUM mengumumkan peningkatan kadar caj rundingan, kemasukan ke wad dan caj perkhidmatan susulan kenaikan harga kos bekalan dan peralatan perubatan, bermula 1 Januari lalu.

Katanya, harga konsultasi bagi klinik am dinaikkan kepada RM15 berbanding RM5 sebelum ini, manakala konsultasi pakar dinaikkan kepada RM80 berbanding RM30 dan rundingan susulan dengan doktor pakar dinaikkan kepada RM50 berbanding RM15.

Bayaran dikenakan bagi perkhidmatan wad maya (virtual) pula ialah RM80; wad biasa (dewasa) RM300; wad biasa (pediatrik) RM270; wad kritikal (dewasa) RM500 dan wad kritikal (pediaktrik) RM650.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here