KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy percaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak layak mendapat pengampunan diraja penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Interim Parti Hak Bersatu Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, Kerajaan Madani menerusi Lembaga Pengampunan mesti bertindak tegas melangkaui pengampunan separa yang diterima Najib sebelum ini dan mencari jalan supaya bekas Perdana Menteri itu mendapat pengampunan penuh.
Jelasnya, pengampuan penuh tidak akan menghapuskan sabitan atau hukuman penjara yang dikenakan kepada Najib sebelum ini tetapi mengesahkan dinamika kompleks dalam kes serta tuduhan melibatkan Najib.
“Jika beberapa pemimpin dalam UMNO boleh dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram untuk memelihara gabungan besar (Kerajaan Perpaduan) yang ada sekarang, mengapa Najib, anak kepada Bapa Pembangunan Malaysia, Tun Abdul Razak tidak boleh mendapat manfaat daripada pragmatisme politik yang sama?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ramasamy, pendakwaan terhadap Najib dibuat dalam situasi yang disifatkan ‘ketegasan yang tidak pernah berlaku sebelumnya’ oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Najib hilang kuasa pada 2018.
Bagaimanapun, ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengakui pendakwaan Najib ketika itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
“Walaupun perbuatan jenayah sememangnya berlaku namun kecenderungan pendakwaan terhadap Najib diperkukuhkan oleh dendam politik.
“Sifat selektif tindakan ini menimbulkan persoalan mengenai keadilan terutamanya apabila Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sendiri kemudiannya terlepas daripada sabitan melalui pakatan (maneuvering) politik,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Ramasamy, meskipun merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid didakwa gagal dalam memperjuangkan supaya Najib mendapat pengampunan penuh.
Dakwanya, bergelut dengan kes mahkamah sendiri, Ahmad Zahid dilihat tidak bersungguh-sungguh mendesak pengampunan buat Najib meskipun beliau mempunyai kelebihan untuk berbuat demikian.
“Sekiranya Ahmad Zahid mengugut UMNO akan menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, Najib pastinya sudah bebas ketika ini,” katanya.
Sementara itu, tambah Ramasamy, himpunan solidariti buat Najib esok yang disokong oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC jelas menunjukkan desakan supaya Najib dibebaskan semakin kuat dan lantang.
Kesepakatan antara UMNO dan Pas berhubung isu pembebasan Najib juga memperlihatkan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam lingkungan politik orang Melayu.
“Gerakan ini lebih daripada sekadar desakan kepada pembebasan Najib, sebaliknya ia memberi isyarat kepada kemungkinan berlakunya perubahan dalam landskap politik tanah air.
“Jika pembebasan Najib ditangguhkan lebih lama, kesan terhadap perubahan politik boleh menjadi lebih mendalam,” katanya. – MalaysiaGazette