KUANTAN – Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli membuat laporan polis terhadap Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang berhubung kenyataan fitnah mendakwa dia mencuri kelapa sawit di atas tanah bergeran di Gambang, di sini.
Beliau berkata, peguamnya juga akan menyerahkan notis saman melalui serahan tangan dan emel kepada Exco itu dan menuntut permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari, selain ganti rugi RM1 juta jika gagal berbuat demikian.
Haslihelmy mendakwa, selain mencuri, Exco berkenaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum juga mengaitkan dan menyebut dengan jelas nama beliau yang menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), wakil Menteri Besar dan membuat ugutan jenayah kepada pemilik tanah bergeran di Gambang di sini.
“Semua dakwaan tersebut tidak disokong dengan bukti bahawa Presiden PSAP berada di tempat kejadian mencuri kelapa sawit dan tiada saksi yang mendengar kenyataan saya mengaku sebagai PTG atau wakil dari MB atau membuat ugutan jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk pemilik tanah bergeran di situ sehingga menimbulkan ketakutan kepada mereka.
“Perkataan digunakan oleh Exco terbabit dalam ucapan semasa perjumpaan dengan pemilik tanah bergeran termasuk peneroka haram tanah kerajaan serta laporan polis palsu yang difailkan oleh peneroka haram tanpa usul periksa.
“Ia tidak disahkan terlebih dahulu dengan presiden PSAP, tapi telah diterbitkan, disebarkan dan tular di media sosial yang kemudian mendedahkan Presiden PSAP kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hasilhelmy, syarikat tempatnya bekerja sudah memohon ‘tapping right’ (mengeluarkan hasil tanaman dari tanah kerajaan) kelapa sawit di atas tanah kerajaan seluas 48.56 hektar itu.
Justeru, beliau mendakwa, kenyataan Chon Siang yang memetik namanya secara jelas berniat jahat dan laporan polis palsu yang difailkan peneroka haram dan pemilik tanah bergeran itu mengelirukan masyarakat.
Katanya, ia memberi gambaran dan persepsi salah kepada pembaca seolah-olah Presiden PSAP tidak beretika, pencuri kelapa sawit, tidak berintegriti, jelik mengeksploitasi atau tidak bermaruah. – MalaysiaGazette