KUALA LUMPUR – Lebih 3, 500 ahli MIC hadir dalam Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Kuil Vinayagar, Batu Caves sekitar pukul 11.00 pagi hari ini.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia bagi menunjukkan keadilan yang perlu diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Kita harap satu keadilan dapat diberikan kepada Datuk Seri Najib sekiranya titah adendum itu wujud. Hari ini kita lihat selepas selesai doa selamat, tiba-tiba kami terima satu surat dari Istana Pahang yang mendedahkan sememangnya titah adendum itu wujud,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Saravanan menjelaskan, MIC melahirkan rasa hormat dan menjunjung kasih kepada Sultan Pahang yang juga bekas Yang di-Pertuan Agung (YDPA) ke -16 atas keprihatinan terhadap isu berkenaan.
Jelasnya, pada awalnya, pihaknya menjangkakan 2,000 ahli MIC akan hadir dalam upacara doa selamat tersebut namun lebih ramai lagi yang hadir bagi menunjukkan komitmen dan menghargai jasa mantan pemimpin negara itu.
“Kami serahkan kepada mahkamah dan kerajaan untuk mengambil tindakan susulan dan rakyat sedang memerhati perkembangan ini agar mereka sedar apa yang sedang berlaku.
“Mungkin hari ini kita berkuasa, lidah kita mampu berkata apa sahaja namun apabila tiba masanya, rakyat akan jawab balik.
“Najib telah memastikan semua lapisan masyarakat tidak terpinggir langsung dan inilah penghormatan MIC kepada beliau,” ujarnya.
Tambahnya, Najib sudah berada dalam penjara lebih dua tahun dan kini masa untuk beliau ditahan di rumah seperti titah YDPA ke-16.
Sebelum ini, MIC telah memilih untuk tidak hadir di Istana Kehakiman selepas Polis Diraja Malaysia tidak meluluskan permohonan himpunan tersebut kerana dokumen tidak lengkap.
Susulan itu, mereka meneruskan himpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri itu di kuil Batu Caves berkait rayuan titah adendum. – MalaysiaGazette