KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan bersidang pagi ini bagi mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak agar beliau dibenar mencabar kewujudan titah adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.
Bekas Perdana Menteri itu merayu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib merayu supaya permohonan semakan kehakimannya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya meritnya didengar dan diputuskan.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Rayuan bekas Perdana Menteri dijadualkan didengar oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Panel berkenaan juga akan mendengar permohonan Najib, 71, untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah berkenaan.
Isu titah adendum yang dibangkitkan oleh Najib menarik perhatian umum kerana masyarakat ingin mengetahui sama ada perkenan Agong itu benar-benar wujud atau hanya digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu.
Ketika umum ternanti-nanti untuk mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan titah adendum, media melaporkan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan sekiranya ingin menghabiskan baki hukuman kepada tahanan di rumah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Disember lalu tampil dengan satu kenyataan bahawa permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
Pada 3 Julai lalu, Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya. – MalaysiaGazette