KUALA LUMPUR – Malaysia terus komited memperkukuh industri kelapa sawit melalui strategi mampan dan kebolehjejakan bagi memastikan daya saing komoditi utama negara di peringkat global.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, golongan pekebun kecil kelapa sawit disarankan meningkatkan kadar pengeluaran hasil antara lima hingga 10 tan metrik setahun bagi membantu meningkatkan penghasilan minyak sawit mentah (CPO) negara.
“Dengan 1.5 juta hektar ladang kelapa sawit yang dikendalikan oleh pekebun kecil, jika mereka berjaya meningkatkan pengeluaran lima hingga 10 tan metrik setahun, secara tidak langsung ia akan meningkatkan penghasilan CPO negara kepada dua hingga 2.5 juta tan metrik setahun,”.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Berhad dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini.
Menurut beliau, usaha itu adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sawit global.
Tambahnya, strategi berkenaan juga dijangka memberi kesan positif berterusan terhadap pengeluaran minyak sawit negara dalam jangka panjang.
Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV dan MPOB memberi tumpuan utama kepada usaha memperkasakan pekebun kecil kelapa sawit.
Salah satu inisiatif utama adalah untuk menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam pengeluaran minyak sawit yang lestari.
Usaha itu bertujuan untuk meningkatkan daya saing pekebun kecil, sekaligus membuka lebih banyak peluang bagi mereka mengakses pasaran minyak sawit premium yang lebih menguntungkan.
Selain itu, FGV dan MPOB turut memperkenalkan program ‘Kebun Angkat’ sebagai langkah untuk memberi sokongan langsung kepada pekebun kecil terpilih.
Program ini menawarkan bantuan teknikal dan bimbingan dalam amalan pertanian lestari, dengan matlamat memperkukuh kedudukan industri kelapa sawit Malaysia di peringkat global serta menjamin kelestarian sektor ini pada masa hadapan. -MalaysiaGazette