KUALA LUMPUR – Remaja berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang pada 29 Disember lalu ditemui selamat semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, remaja Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani ditemui sekitar pukul 11.15 malam.
“Pihak Polis Sepang menemukan remaja itu di sebuah restoran di Batu 9, Cheras dalam keadaan baik dan sepanjang kehilangan dan remaja itu menetap di rumah kawan.
“Penemuannya telah dimaklumkan kepada pengadu, iaitu ibu saudaranya dan telah diserahkan kepada ibu bapa remaja itu dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Norhizam mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama dan maklumat yang disalurkan susulan penemuaan remaja terbabit.
Pada 4 Januari lalu, media melaporkan polis sedang mengesan seorang remaja itu selepas dilapor hilang sejak 29 Disember lalu.
Norhizam dilaporkan berkata, laporan kejadian itu dibuat ibu saudara remaja itu pada Selalu lalu.
Menurutnya, mangsa menetap di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang di Selangor bersama ibu saudaranya sejak Februari tahun lalu.
Katanya, sebelum menghilangkan diri, remaja itu telah berkurung dalam bilik rumah kerana perselisihan faham keluarga. – MalaysiaGazette