JOHOR BAHRU – Perbuatan menyembunyikan Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai membelakangkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, tindakan berkenaan juga boleh dilihat sebagai perbuatan derhaka terhadap YDPA.
“Siapakah yang terlibat menyembunyikan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong? Apakah ini suatu penderhakaan ke atas titah Agong yang cuba disenyapkan?
“Apakah rahsia disebalik tindakan menyembunyikan Titah Addendum tersebut? Semuanya akan terjawab nanti.
“Namun sebagai seorang yang bergelar rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang dilantik sebagai pemimpin tidak seharusnya bertindak membelakangkan titah Agong.
“Ia boleh dilihat sebagai tindakan derhaka terhadap titah Agong. Justeru kerajaan Madani dilihat derhaka kepada Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Titah Adendum itu jelas wujud dan seperti yang dibuktikan di mahkamah semalam merupakan tamparan hebat kepada kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. – MalaysiaGazette