MELAKA – “Mujurlah ketika tayar kereta pancit, saya pilih untuk tunggu di tepi lebuh raya bawah panas terik matahari, jika tidak mungkin saya sudah mati,”.
Itu perasaan dikongsi Tan Hong Ta, 36, pemandu kereta mewah jenis BMW Z4 yang hangus sepenuhnya bersama sebuah lori tangki selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 199.7 Lebuh Raya PLUS arah utara Ayer Keroh di sini, petang tadi.
Menceritakan detik sebelum kejadian kira-kira 2.40 petang itu, dia berkata, ketika itu dia dalam perjalanan ke ibu negara sebelum tayarnya pancit di lokasi nahas.
“Selepas keluar dari kereta, saya menghubungi perkhidmatan trak tunda dan tunggu di tepi lebuh raya selama hampir dua jam kerana sedar bahaya untuk berada di dalam kereta jika dirempuh kenderaan lain.
“Tidak sangka firasat saya tepat apabila sebaik sahaja trak tunda sampai tiba-tiba sebuah treler merempuh sebuah lagi lori tangki minyak masak menyebabkan ia terbakar betul-betul di sebelah kereta saya.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus lari sejauh kira-kira 100 meter di tepi lebuhraya itu sambil terdengar beberapa kali letupan pada lori tangki itu,” katanya.
Menurutnya yang merupakan pengurus sebuah kilang di Johor, walaupun kerugian harta benda, dia bersykur kerana membuat pilihan yang tepat dengan menunggu di tepi lebuh raya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang pemandu lori tangki minyak sawit melecur 40 peratus selepas kenderaannya itu terbakar bersama kenderaan mewah terbabit.
Kejadian itu yang turut tular di media sosial mengakibatkan kesesakan lebih lima kilometer selepas lorong kiri dan tengah lebuhraya berkenaan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan. – MalaysiaGazette