KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang
baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Januari 2025.
Manakala Prof. Dr. Yatimah Alias telah turut dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi tempoh yang sama berkuat kuasa 13 Januari 2025.
Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2008.
Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya sebagai Timbalan Dekan (Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM (2015); Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM (2019); Pengerusi Institute for Life Ready Graduates (iLeaGue) UTM (2020); serta merupakan Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN) UTM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada 2023.
Dr. Yatimah, 55, pula merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022, memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia pada tahun 1999 dan merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids.
Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMPSA berdasarkan kepada reputasi akademik yang diiktiraf serta pengalaman luas yang dimiliki dalam pengurusan pentadbiran di UM.
Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018); dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin pelantikan mereka ini akan memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat tersedia industri, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri tinggi.
Pada masa sama, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua mantan Naib Canselor UTM dan UMPS iaitu Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Datuk Ts Yusserrie Zainuddin atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA sebelum ini. – MalaysiaGazette