Gambar Facebook Nizar Najib.

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Mohamad Nizar Najib hari ini mengakui dirinya selalu mendapatkan nasihat dan pandangan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan isu titah adendum melibatkan bapanya, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu nukilan hantaran khas dibuatnya di laman sosial rasmi beliau, Mohamad Nizar tidak putus-putus menzahirkan penghargaan buat Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu.

“Selain usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk fail affidavit titah addendum yang saya amat hargai, beliau (Wan Rosdy) juga mengambil risiko peribadi untuk mengesahkan pada awalnya kewujudan titah addendum dan tahanan rumah melalui affidavit yang beliau fail di mahkamah.

“Tanpa pengesahan awal ini, orang ramai tidak tahu akan kewujudan titah tersebut.

“Terima kasih tak terhingga Datuk Seri Diraja Menteri Besar. Saya dengan ikhlas selalu mendoakan agar Datuk Seri Diraja diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus memimpin kami di pentadbiran negeri Pahang,” katanya.

Sebagai rekod, dua hari lepas, bapanya, Najib yang juga bekas Perdana Menteri berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum.

Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here