KUALA LUMPUR – Sempena 10 tahun Bulan Bintang di pasaran, jenama fesyen baju Melayu terkenal ini mengadakan kempen Bulan Bintang Next Top Model dengan memberi peluang untuk mereka yang berusia 40 tahun ke atas menonjolkan bakat terpendam dalam bidang peragaan.
Apa yang menarik, penyertaan awal orang ramai akan dinilai serta dijurikan oleh pengarah muzik popular dan juri tetap program Gegar Vaganza, Datuk Ramli MS atau dikenali Tok Ram selain pelakon, Joey Daud dan Nadhir Nasar.
Pengasas jenama Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, ketiga juri akan memilih 30 orang peserta untuk ke peringkat seterusnya mereka yang bertuah akan menjalani sesi uji bakat.
“Sesi uji bakat akan dinilai oleh juri dan daripada 30 peserta, hanya 15 yang akan dipilih berjalan di pertunjukan fesyen Bulan Bintang di mana akhirnya tiga orang peserta akan memenangi hadiah utama.
“Tempat pertama bakal memenangi RM10,000 manakala RM5,000 bakal dihadiahkan kepada naib juara dan pemenang tempat ketiga pula bakal memenangi RM3,000.
“Penilaian adalah berdasarkan 50 peratus markah juri dan 50 peratus markah pula berdasarkan undian penonton yang mengikuti kempen Bulan Bintang Next Top Model di TikTok,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azim menambah, penyertaan kepada orang ramai yang berusia 40 tahun atas sebab tersendiri kerana setiap tahun pihaknya mendapat banyak permintaan peminat yang mahu menjadi model.
Katanya, untuk tahun ini, pihaknya membuka peluang sempena sedekad berada di pasaran selepas sebelum ini memiliki ramai model dalam kalangan selebriti dan pempengaruh terutamanya mereka yang berusia muda.
“Untuk kelainan, kami mahu mencari model berusia 40 tahun ke atas untuk berjalan ‘catwalk’ atas pentas pertunjukan fesyen Bulan Bintang dan ereka yang berminat boleh hantarkan penyertaan menerusi akaun TikTok.
“Daftar secara atas talian dengan mengisi borang di https://bulanbintanghq.com/bulan-bintang-next-top-model/ dan seterusnya, sediakan video berdurasi pendek mengenai latar belakang diri anda serta tunjukkan bakat anda ‘catwalk’ dan ‘pose’.
“Muat naik di akaun TikTok dan tag akaun @bulanbintangcloting dan #BulanBintangNextTopModel di mana enyertaan untuk kempen Bulan Bintang Next Top Model ini telah dibuka sehingga 11 Januari ini,” katanya. – MalaysiaGazette