Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dihantar seorang pengasuh taska ke sebuah klinik di Bandar Saujana, Selangor pada 3 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Mohd Akhmalrizal Radzi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, katanya, polis telah menerima laporan kejadian itu daripada seorang doktor dari klinik di Bandar Saujana pada hari sama pada jam 3.29 petang.

“Doktor memaklumkan telah menerima bayi lelaki yang dibawa pengasuh taska dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi, nafas serta pergerakan anak mata apabila disuluh dengan lampu.

“Pengadu serta-merta melakukan CPR dan bantuan oksigen pada mangsa sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke Hospital Cyberjaya.

“Pihak hospital yang kemudian menerima bayi itu sekitar jam 4.35 petang juga melakukan CPR selama lebih 30 minit namun tiada tindak balas dan doktor mengesahkan bayi lelaki itu telah meninggal dunia pada jam 5.05 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pengusaha dan pekerja taska terbabit serta tangkapan tiada lagi dibuat berhubung kes itu.

“Setakat ini tiada tangkapan lagi dibuat dan semakan mendapati, premis terbabit tidak berlesen serta permohonan untuk taska telah dihantar namun belum diluluskan,” ujarnya.

Mohd Akhmalrizal meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222. 

Sebelum ini, tular di media sosial seorang wanita meluahkan rasa kecewa dengan perkhidmatan taska swasta di Bandar Saujana apabila bayi lelakinya itu dihantar dalam keadaan baik namun dipulang tanpa bernyawa- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here