KUALA LUMPUR – Seramai 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal mereka oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, semalam.
Pengarah Imigresen Negeri, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, pemindahan dilakukan dari Depot Imigresen Langkap melibatkan 71 lelaki, 25 wanita dan 6 kanak-kanak berusia antara 1 hingga 60 tahun.
“Proses pemindahan ini melibatkan penghantaran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
“Kesemua yang dihantar pulang telah menyelesaikan bayaran kompaun atau menjalani hukuman denda serta penjara seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kehakiman (mahkamah PATI),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mereka disabitkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, semua individu ini telah disenarai hitam dan dihalang untuk memasuki Malaysia pada masa hadapan.
Langkah ini diambil bagi memastikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan pengurusan imigresen di negeri Perak. – MalaysiaGazette