KUANTAN – Kompleks Sukan Negeri Pahang (KOMBES) yang sedang dalam pembinaan di tengah bandar raya Kuantan dijangka siap Jun tahun ini.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, KOMBES yang dibangunkan dengan kos lebih RM24 juta dijangka boleh digunakan orang ramai menjelang September nanti.
Menurutnya, kerja-kerja naik taraf dan pembinaan baharu kompleks sudah mencapai lebih 72 peratus setakat penghujung Disember lalu.
“Apabila siap kompleks ini, ia akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Pahang khususnya orang muda untuk melakukan aktiviti dengan pelbagai kemudahan disediakan.
“Ia juga akan menjadi satu mercu tanda baharu kepada negeri ini apabila siap nanti,” katanya selepas meninjau kompleks sukan berkenaan di sini hari ini.
Tambahnya, KOMBES dibina di sini kerana lokasinya yang strategik dan bakal menghidupkan kegiatan belia di negeri ini kepada semua peringkat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara kemudahan yang terdapat di KOMBES Pahang adalah bangunan pentadbiran, bangunan asrama, dewan utama, gimnasium, gelanggang sukan pelbagai guna berbumbung, gelanggang futsal berbumbung, ‘skate park’ dan ‘wall climbing’, trek sintetik, auditorium, kiosk niaga dan gelanggaang petanque.
Tambah Fadzli, gelanggang skate atau ‘skate park’ dibina berdasarkan cetusan idea kehendak peminat sukan papan selaju di negeri ini. – MalaysiaGazette