KUALA LUMPUR – Tahun 2025 bakal menyaksikan komitmen Malaysia memperkukuhkan lagi kelebihan geografinya sebagai laluan utama untuk tenaga elektrik, bakat dan kepelbagaian rantaian bekalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan itu bagi membolehkan negara menjadi peneraju pasaran global dalam setiap bidang.
Untuk itu, katanya, negara perlu memperincikan kepakarannya dalam minyak dan gas, semikonduktor, kewangan Islam serta mengambil sikap terbuka untuk menjadi hub bagi semua.
“Pada tahun 2024, Malaysia berjaya menurunkan kadar inflasi, mengurangkan pengangguran dan menstabilkan mata wang kita.
“Kerajaan bukan juga sahaja mencatat rekod tertinggi dalam peluang pekerjaan tetapi juga prestasi pasaran saham yang terbaik di ASEAN.
“Di peringkat antarabangsa, pelaburan langsung asing Malaysia pula melakar sejarah apabila menerajui dalam bidang semikonduktor dan pusat data,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia 2025 (FEM2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Anwar menambah, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini adalah tepat pada masanya.
Perdana Menteri berkata, ini memandangkan Asia menjadi pusat ekonomi global dan ASEAN disasarkan menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia.
“Pertumbuhan global akan datang daripada gabungan ASEAN, India dan China yang menghasilkan kelas pertengahan yang semakin berkembang dan pengaruhnya meningkat sebagai pembuat keputusan.
“Apabila kerajaan dibentuk pada penghujung tahun 2022, kami mencari legitimasi ekonomi melalui kestabilan politik di mana kerajaan di dunia semakin sukar mendapatkannya.
“Selepas itu, kerajaan melancarkan satu siri dasar ekonomi progresif dalam naratif pertumbuhan meliputi ruang fiskal dan inisiatif yang berpaksikan rakyat sambil didorong oleh semangat pembaharuan institusi.
“Ekonomi telah pulih secara mendadak dan kita melihat kemasukan pelaburan strategik dan paling mengagumkan dan ketara dalam infrastruktur boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan,” katanya.
Sementara itu, FEM2025 yang bertemakan ‘Seizing Malaysia’s Moment’ akan membincangkan pelbagai topik utama termasuk inovasi dan teknologi, peluang pelaburan di Malaysia selain negara sebagai pengerusi ASEAN dan strategi menghadapi cabaran ekonomi global.
Forum ini juga menghimpunkan pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk membincangkan isu-isu ini dan akan memantau kemajuan inisiatif kerajaan dalam jangka masa sederhana dan menetapkan naratif bagi tahun akan datang. – MalaysiaGazette