MERBOK – Pesawah di negeri Kedah menggesa kerajaan untuk memperkasakan peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam pengagihan baja bantuan kerajaan kepada pesawah daripada menswastakan urusan tersebut kepada pihak luar.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Merbok, Hamdi Said berkata, pihaknya bimbang jika menswastakan urusan tersebut kemungkinan berisiko sekiranya pihak luar mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan pesawah.
Jelas beliau, peranan NAFAS dalam membantu golongan pesawah selama ini tidak boleh dinafikan kerana mereka lebih memahami keperluan dan susur galur petani tempatan serta mempunyai pengalaman yang mendalam dalam menangani isu agihan baja.
“Jika kita serahkan segala urusan kepada pihak swasta, bimbang ia mengambil masa untuk dilaksanakan secara teratur selain entiti luar berkemungkinan lebih mementingkan keuntungan semata-mata berbanding pendapatan petani.
“Kita boleh lihat berlaku pergolakan di pihak atasan NAFAS baru-baru ini sehingga menjejaskan agihan baja kepada pesawah.. itu baru pergolakan atasan jika diberikan kepada orang baru (swasta) untuk uruskan mungkin insiden agihan baja tidak teratur sekali gus menyebabkan petani menangggung kerugian.
“Malah wujud juga keadaan di mana petani terpaksa membeli beras dalam kuantiti sekilo dua untuk keperluan keluarga mereka meskipun masing-masing merupakan pesawah dan kita percaya sekiranya NAFAS diberi kepercayaan serta diperkasakan keadaan ini mungkin berubah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tok Sora hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA, Ishak Taib berharap agar kerajaan dapat mempercepatkan proses pengurusan kontrak pembekalan baja hanya kepada NAFAS untuk memastikan kelancaran pengagihan kepada petani berterusan.
“Jika pembekalan baja diserahkan kepada pihak yang tidak memahami jadual dan keadaan pertanian padi, ia akan memberi impak besar terhadap hasil padi.Padi memerlukan baja pada waktu tepat, terutama baja sebatian, urea, dan (baja) NPK (Nitrogen, phosphorus dan kalium) yang perlu diberikan mengikut fasa pertumbuhan padi.
“Cuma kita harap NAFAS buat penambahbaikan dalam pengurusan terutama dalam memastikan tiada gangguan dalam proses pengagihan baja seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Turut menyuarakan pandangan sama, Pengerusi PPK Guar Cempedak, Jamaludin Hussin yang berpendapat, kerajaan perlu memperluaskan peranan NAFAS berbanding mahu menswastakan perkhidmatan yang dilakukan pertubuhan tersebut.
Beliau menyarankan selain pengagihan baja, NAFAS diberikan tanggungjawab untuk menjalankan kajian terhadap pH (ukuran asid dan alkali) tanah bagi memastikan baja yang digunakan sesuai dengan kawasan laut, darat dan bukit agar petani tempatan dapat menghasilkan padi yang lebih berkualiti.
“Bagi saya, pengurusan baja oleh NAFAS yang sentiasa efisien. Kami PPK Guar Cempedak, sangat dekat dengan kilang NAFAS dan proses penghantaran baja sangat cepat jadi kita tak perlu bagi peranan mereka kepada orang lain sebaliknya tambahkan lagi tanggungjawab mereka dalam memastikan kesejahteraan kepada pesawah.
“Sekiranya kajian pH tanah dilakukan oleh NAFAS dan baja diubahsuai mengikut keadaan tanah, saya yakin hasil padi di kawasan PPK Guar Cempedak boleh meningkat.
“Setakat ini, hasil purata padi adalah sekitar lima hingga enam tan tapi kita percaya dengan penyesuaian baja mengikut jenis tanah hasilnya pasti akan bertambah,” katanya. – MalaysiaGazette