Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan merampas sebuah kereta membawa 90 liter petrol dan tangki yang telah diubah suai.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan cubaan penyeludupan petrol yang dikesan di Sekat Pintas Pos Ular, Pengkalan Kubor, Kelantan, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan jam 7.30 pagi itu dilakukan selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan pangkalan haram ketika rondaan Op Taring Wawasan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan lebih 90 liter petrol dan tangki yang telah diubah suai.

“Pemandu kenderaan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen sah bagi bahan bakar tersebut dan minyak yang dirampas dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM9,184.50 dan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelasnya, barang rampasan telah dibawa ke Kompleks Taklimat (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

“Kejayaan Op Taring Wawasan Kelantan ini sekali lagi membuktikan komitmen PGA dalam menangani jenayah lintas sempadan dan masyarakat diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan sempadan bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here