KUALA LUMPUR – Tiada sijil halal tapi tampal label Muslim Kitchen di restoran!
Itu taktik dibongkar dalam operasi bersepadu ke beberapa buah restoran sekitar Balakong dekat sini hari ini.
Serbuan tersebut melibatkan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas menerima aduan awam mengenai penggunaan label yang boleh mengelirukan pengguna Islam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Kajang, Ruhaizad Zahari berkata, operasi melibatlan 15 pegawainya Kajang dan empat dari JAIS.
“Operasi ini dilakulan susulan aduan awam mengenai penggunaan label Muslim Kitchen yang memberi tanggapan premis itu memenuhi keperluan halal untuk pengguna Islam.
“Premis tersebut didapati tidak memiliki pensijilan halal, melanggar Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Ruhaizad, pemilik restoran memberi alasan pihaknya menampal label berkenaan selepas disyorkan oleh pelanggan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan mematuhi peraturan berkaitan pemilikan barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.
“Operasi ini juga merupakan sebahagian daripada kempen ‘Kita Gempur’ yang bertujuan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN,” ujarnya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pemilik premis berkenaan memberitahu perniagaannya telah beroperasi selama empat bulan dan label halal itu baru sahaja dilekatkan di premis itu selama seminggu.
Bagaimanapun kesemua pelekat telah diturunkan dari premis berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai.
Kes kini sedang disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5 juta bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM10 juta bagi kesalahan kali kedua dan ketiga. – MalaysiaGazette