KUALA LUMPUR – Phishing merupakan jenayah e-kewangan yang menjadi ancaman laman penipuan di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laman-laman media sosial sering menawarkan barangan jualan, namun di sebaliknya tersembunyi taktik mencuri data peribadi pengguna yang boleh mengakibatkan kerugian besar.
“Menurut statistik, phishing dikategorikan sebagai salah satu Jenayah e-Kewangan, dengan 1,812 kes dilaporkan pada tahun 2024 melibatkan kerugian sebanyak RM65.5 juta.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak sesekali menekan pautan yang diterima daripada individu tidak dikenali.
“Walaupun mesej diterima daripada orang dikenali, pastikan anda mendapatkan pengesahan melalui panggilan atau video untuk memastikan kesahihan mesej tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, hari ini.
Menurut beliau, taktik penipuan semakin canggih, termasuk penggunaan teknik seperti spoofing, fail APK dan perisian berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, masyarakat haruslah tidak berkongsi maklumat sensitif seperti kata laluan, kod OTP, atau data peribadi lain dengan sesiapa sahaja.
“Jangan mudah terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
“Agensi-agensi ini tidak pernah meminta maklumat peribadi daripada orang awam,” ujarnya.
Beliau berkata, pengguna disaran hanya membuat transaksi di platform yang dipercayai seperti Shopee dan Lazada bagi pembelian dalam talian.
Menurutnya, membeli terus daripada individu tidak dikenali berisiko tinggi untuk menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang memerlukan bayaran pendahuluan.
Tambahnya, tawaran seperti ini sering kali menjanjikan pulangan lumayan, namun kebanyakan daripadanya adalah penipuan.
Sambutlah Tahun Baru Cina dengan lebih berwaspada dan sentiasa utamakan keselamatan dalam urusan dalam talian. – MalaysiaGazette