EON Berhad lancar showroom pertama Proton e.Mas di EON HQ Glenmarie, Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Sebanyak 61 buah kereta elektrik Proton, model eMas 7 akan digunakan sebagai kenderaan rasmi sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Bhd (Proton) Roslan Abdullah berkata dalam masa yang sama sebanyak lebih kurang 194 Proton model X70 akan turut digunakan.

“Semua akan diselesaikan bulan ini. Ini untuk membawa Ketua-Ketua Setiausaha sepanjang program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pelancaran outlet Proton eMas 7 di Ibu Pejabat EON di Glenmarie, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Jelas beliau, penggunaan kereta model Kenderaan Elektrik (EV)  di bawah jenama Proton itu selaras dengan salah agenda yang akan dibincangkan ketika persidangan kelak berkaitan teknologi hijau bebas karbon.

“Proton ada terlibat dalam persidangan secara tidak langsung sebab yang kita dimaklumkan salah satu agenda ASEAN melibatkan teknologi hijau bebas karbon dan disebabkan itu kerajaan menggunakan eMas 7 dan kereta EV yang lain supaya apa yang dibincang dan digunakan dalam mesyuarat itu selaras dengan objektif perbincangan,” katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Proton eMas tahun lalu turut mengumumkan kereta tersebut bakal menjadi kenderaan rasmi sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN 2025 tahun ini.

Menurutnya, kerajaan mahu menjadikan eMas 7 sebagai contoh di rantau Asia dalam penghasilan dan pembangunan EV, selaras komitmen negara kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here