KUALA LUMPUR – Sebuah bengkel kereta hampir musnah keseluruhan dalam kebakaran di sebuah bangunan empat tingkat di Jalan Impian Ehsan 2, Taman Impian Indah, Balakong, Selangor kira-kira jam 7.00 malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.05 malam dan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn tiba 12 minit kemudian.
“Pasukan bantuan dari BBP Sri Kembangan dan BBP Kajang turut dikerahkan.
“Kebakaran melibatkan ruang bawah bengkel berkeluasan 20 x 40 kaki persegi terbakar sebanyak 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.43 malam.
Jelasnya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan kerja-kerja pemadaman berjalan lancar dengan kekuatan 20 anggota dan bantuan tiga jentera, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu tangki air.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette