KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita ditemui dengan kesan tikaman di kawasan hutan berhampiran Jalan Perkuburan, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor pada jam 10.37 pagi pada 2 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai warganegara asing, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.
Tambah beliau, mangsa dianggarkan meninggal dunia antara dua hingga empat hari daripada tarikh ditemui pada 2 Januari lalu.
“Ketika dijumpai, mangsa memakai kemeja-T berkolar berwarna hitam dengan tulisan ‘Johny Walker’ dan seluar pendek hitam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian leher, dada, dan belakang badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan identiti mangsa masih belum dikenalpasti.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Ikhwanizam Ismail di talian 019-6000468 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222. – MalaysiaGazette