KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenal pasti 33 indikator dengan 32 tindakan akan dilaksanakan dalam jangka masa pendek dan sederhana.
MITI dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan tindakan-tindakan itu akan menyumbang secara langsung kepada pengukuran indikator, sekaligus meningkatkan daya saing dan produktiviti Malaysia.
“Selaras dengan pendekatan keseluruhan kerajaan, MITI komited untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi terlibat dalam menjayakan agenda daya saing negara ke arah mencapai sasaran Kerangka Ekonomi Madani untuk Malaysia berada dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang tahun 2033,” katanya.
Menterinya, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, jawatankuasa itu adalah bukti bahawa kerajaan serius dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam sekali gus akan meningkatkan daya saing negara.
Beliau berkata, daripada sudut pelaburan dan perdagangan, produktiviti dan daya saing yang kukuh akan menarik lebih banyak pelabur dan rakan dagang berimpak tinggi apabila negara mempamerkan keupayaan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi, kecekapan infrastruktur dan tatakelola kerajaan serta tadbir urus korporat yang cemerlang.
“MITI yakin melalui platform JKDSN (Jawatankuasa Daya Saing Negara) yang merentas kementerian, strategi yang lebih bersepadu, holistik dan berkesan dapat dirangka.
“Matlamat JKDSN bukan sekadar angka iaitu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam laporan atau indeks tertentu, malah lebih utama adalah untuk memastikan impak positif kepada rakyat dan perniagaan,” katanya.
Penubuhan JKDSN adalah usaha menggembleng kerjasama Keseluruhan Kerajaan (Whole of Government) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, yang sekali gus akan meningkatkan daya saing negara.
Fokus adalah ke atas asas daya saing iaitu pengukuhan produktiviti dan kecekapan di pihak kerajaan dan perkhidmatan kepada antara lainnya, sektor perniagaan, eksport dan industri/pelaburan. – MalaysiaGazette