Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang peguam didakwa terlibat dalam kes pecah amanah hampir RM2 juta yang dibayar kepada sebuah firma guaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa, seorang wanita berusia 58 tahun mendakwa wang sebanyak RM964,664 yang dibayar kepada firma guaman suspek pada 2021 tidak disalurkan kepada pihak sepatutnya.

“Suspek mengaku menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

“Mangsa turut memaklumkan bahawa hasil jualan dua unit hartanah bernilai RM963,630.90 yang diserahkan kepada akaun amanah firma guaman berkenaan bagi tujuan pembayaran hutang juga telah disalahgunakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati firma guaman suspek sedang disiasat berhubung empat kes pecah amanah lain, masing-masing dua kes pada tahun 2023 dan 2024, dengan kerugian keseluruhan RM833,050.

Menurutnya, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes pecah amanah jenayah melibatkan peguam yang mencatatkan lonjakan ketara sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan rekod, sebanyak 62 kes dilaporkan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM62,680,276.57, meningkat 77% daripada segi kes dan 114% daripada segi kerugian berbanding 2023.

Ramli menekankan kepentingan menjaga integriti profesion ini walaupun jumlah ini kecil berbanding keseluruhan pengamal undang-undang di Malaysia.

“Peguam, sebagai individu yang mahir dalam undang-undang, sepatutnya menjadi pembela dan pelindung anak guam, bukan sebaliknya,” ujarnya.

Tambahnya, usaha membanteras ketidakjujuran dalam kalangan peguam perlu diperkukuh melalui mekanisme yang lebih efektif.

Kerjasama antara badan profesional dan pihak berkuasa adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here