Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Sri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM5.9 juta selepas ditipu sindiket pelaburan palsu pada Ogos 2024 lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 58 tahun itu telah membuat laporan polis di Kajang.

“Menurut hasil laporan, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di laman sosial Facebook sebelum menghubungi nombor telefon yang tertera.

“Beliau kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘Davidson Kempner Capital Management’ dan dibimbing oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘cikgu trading’, James Li,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di sini, hari ini.

Menurut beliau, mangsa turut diarahkan memuat turun aplikasi bernama A-Trade untuk memudahkannya melakukan transaksi pelaburan.

Jelasnya, mangsa telah membuat pemindahan wang secara berperingkat ke beberapa akaun yang diberikan oleh sindiket dalam tempoh tiga bulan.

“Mangsa tidak menerima pulangan seperti dijanjikan meskipun telah membuat pelaburan sebanyak 30 kali antara September hingga November 2024.

Ramli berkata, jumlah keseluruhan transaksi telah mencecah RM5,900,506.48.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa dan sentiasa menyemak latar belakang syarikat pelaburan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here