KUALA LUMPUR – Sebatang pokok tumbang menyebabkan tiga buah kereta rosak teruk di Persiaran Stonor, Jalan Stonor, di sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem MERS999 pada jam 7:32 malam.
Susulan itu, seramai sembilan anggota dari balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak serta jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Menurut Komander Operasi, G.Sandra Segaran, setibanya pasukan di lokasi, mereka mendapati pokok besar itu telah menghempap tiga buah kenderaan yang diparkir di tepi jalan.
“Operasi pembersihan dilakukan serta-merta bagi mengalihkan pokok yang tumbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan diselesaikan tanpa sebarang kesukaran dan kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Operasi tamat sekitar jam 8.15 malam dan kerja-kerja seterusnya diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – MalaysiaGazette