KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program ‘Beach Cleanup’ dan membangunkan ruang bacaan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pantai Siring dan Pulau Burung, Jasin, Melaka.
Ketua Pustakawan UTeM, Siti Saluwa Jamal berkata, ia merupakan kerjasama antara Perpusatakaan Laman Hikmah dan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dibantu oleh mahasiswa Kelab Sahabat Perpustakaan dan Pusat Kesihatan UTeM.
“Inisiatif ini bertujuan menyumbang kepada komuniti setempat melalui program Knowledge Sharing Transfer Program (KSTP).
“Projek ini juga menyokong aspirasi menjadikan Pantai Siring dan Pulau Burung sebagai destinasi pelancongan yang lebih menarik di Jasin,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, program pembersihan pantai tersebut berjaya mengumpul lebih 500 kilogram sisa pepejal, mencerminkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Jelasnya, UTeM mencipta sejarah sebagai institusi pertama membangunkan ruang bacaan di Pantai Siring dan sebanyak 306 bahan bacaan, termasuk buku dan majalah telah disediakan untuk kegunaan komuniti setempat yang menggalakkan budaya membaca dalam suasana santai tepi pantai.
Pengarah Program yang juga Timbalan Ketua Pustakawan, Mahadir Che Ali, menyatakan bahawa papan tanda khas projek komuniti turut didirikan di Pulau Burung sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan.
“Pusat Kesihatan UTeM turut menyediakan pemeriksaan kesihatan untuk 60 penduduk tempatan, manakala sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat serta kerjasama JAPERUN Serkam dan badan-badan tempatan lain membantu menjayakan inisiatif tersebut,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Pustakawan Siti Saluwa Jamal dan Profesor Ts. Dr. Effendi Mohamad dari Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka. – MalaysiaGazette