SEPANG – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan anaknya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam kes ugutan jenayah seperti yang didakwa.
Dalam masa yang sama, beliau menyerahkan kepada pihak polis membuat siasatan kes tersebut sekiranya terdapat laporan dibuat terhadapnya.
“Anak saya tidak mengatasi undang-undang, kalau ada laporan ke atasnya, ia tanggungjawab polis untuk menyiasat setelusnya dan seadilnya.
“Merujuk kenyataan IGP (Ketua Polis Negara) sebelum ini, bahawa kertas siasatan sudah disempurnakan dan sudah diserahkan kepada (Pejabat) Peguam Negara.
“Biarkan proses mengambil tempat, prinsip yang saya pegang adalah semua kita tidak kebal undang-undang, tidak mengatasi undang-undang termasuk anak saya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sesi Tinjauan Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Khamis lalu mengesahkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial sejak semalam.
Menurutnya, siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin lalu untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, tindakan itu sekaligus menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Terdahulu tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Sebagai rekod, pada masa ini, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette