KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera maut apabila kereta dipandunya dihempap tiang pencawang selepas terbabit kemalangan di hadapan Taman Rimba Templer, dekat Rawang, hari ini.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi di Jalan Kuala Lumpur–Ipoh menghala Rawang, dengan mangsa dilaporkan maut akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang terbabas dan melanggar tiang pencawang di sebelah kiri jalan.
“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa terbalik ke dalam longkang dan dihempap tiang pencawang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Selayang, sebelum mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette