KUANTAN – Sebanyak tujuh laporan polis dibuat terhadap Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yang didakwa mempertikaikan kewujudan Titah Adendum serta surat pengesahan dari Istana Pahang.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, enam laporan polis telah dibuat oleh Ketua Bahagian Bersatu dan satu lagi oleh Ketua Armada di Pahang setakat ini.
Saifuddin mendakwa kenyataan Shamsul Iskandar yang mempersoalkan kewujudan Titah Adendum juga dilihat sebagai tidak wajar, sekali gus menghina Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Tindakan ini telah mencetuskan kebimbangan kerana ia menyentuh elemen 3R (raja, agama dan kaum) yang boleh menggugat keharmonian masyarakat Malaysia.
”Shamsul Iskandar dilihat seolah-olah mempersoalkan kewajaran pengesahan daripada Majlis Kesultanan Pahang yang ditandatangani Pengola Bijaya Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirizal bagi pihak Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah addendum yang dibuat oleh Al-Sultan Abdullah semasa baginda menjadi YDPA ke -16.
”Ini pada kami telah mencemarkan nama Al-Sultan Abdullah, Majlis Kesultanan Pahang, dan Institusi YDPA khususnya YDP ke -16. Kenyataan terbuka boleh mencemarkan nama baik baginda,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.
Tambah Saifuddin, baki daripada 14 bahagian Bersatu di Pahang akan terus membuat laporan polis di kawasan masing-masing berhubung isu yang sama.
Susulan itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berharap pihak polis dapat menyiasat perkara berkenaan lebih telus dan komprehensif memandangkan isu berkenaan boleh menggugat keharmonian masyarakat Malaysia. – MalaysiaGazette