GEORGE TOWN – Perdana Menteri meminta kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik berkenaan pengambilalihan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tapak pesta tersebut mempunyai nilai sentimental bagi penduduk Pulau Pinang namun menyatakan perubahan perlu diterima demi kemajuan termasuk pembangunan LRT.
“Kita mengambil kira pandangan semua pihak dan sedang berbincang kerana orang Pulau Pinang ini mereka mempunyai sentimental, sentimen dengan nasi kandar, sentimen dengan tapak pesta.
“Kalau boleh semua mereka (penduduk Pulau Pinang) nak kekal seperti yang lama tapi mereka nak LRT … saya rasa orang Pulau Pinang juga kena rumus dengan baik. Membawa perubahan, sedikit penyesuaian juga harus dilakukan.
“Bagaimanapun kerana hal ini telah dibangkitkan oleh ramai, saya minta Ketua Menteri berbincang semula untuk buat sedikit penyesuaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Media sebelum ini melaporkan, Kon Yeow memaklumkan sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong dalam perancangan untuk diambil alih bagi mendirikan depoh projek LRT Laluan Mutiara dan ia telah dibentangkan MRT Corp selaku pemaju dan pemilik aset kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun ia masih pada peringkat cadangan.
Dalam perkembangan sama, Anwar berharap MRT Corp dapat menjalankan tugasnya dengan telus dan cekap selain mempertimbangkan identiti unik negeri tersebut dalam perancangan seni bina LRT Laluan Mutiara.
“Jadi, saya harap ia tidak hanya jadi LRT seperti LRT mana-mana tempat di dunia, tentunya kenderaannya sama, infrastruktur sama tetapi ini cabaran besar yang harus kita renungkan,” katanya.
Untuk rekod, Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A) dijangka beroperasi pada 2031.
Penjajaran yang bermula dari PSR-A merangkumi dua stesen terminus iaitu di Penang Sentral dan KOMTAR dengan kedua-dua laluan ini akan beroperasi secara selari menerusi penjadualan bergilir, memastikan perjalanan yang lebih lancar dengan masa perjalanan dioptimumkan.
LRT Laluan Mutiara itu juga menyaksikan sambungan stesen terminus dari KOMTAR ke Penang Sentral, meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang. – MalaysiaGazette