Sebuah kereta masuk ke laluan bertentangan menjadi punca kemalangan tragis mengakibatkan empat maut di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Kemalangan empat maut melibatkan dua kenderaan di Kilometer 8.9 Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, hari ini, dipercayai berpunca selepas sebuah kereta masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kereta Toyota Vios dinaiki empat mangsa yang maut itu tidak sempat mengelak lalu melanggar lori Isuzu berkenaan.

“Dalam kemalangan itu pemandu dan semua penumpang dalam Toyota Vios berkenaan mengalami cedera parah di bahagian badan, kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu lori pula iaitu lelaki berusia 60 tahun mengalami kecederaan bengkak di bahagian lutut.

“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu lima tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa yang terkoban dalam kemalangan tersebut adalah pasangan suami isteri, Aieman Azriq Ahmad dan Nurul Fazilah Noor Azmi masing-masing berumur 21 tahun dan anak mereka, Aryan Khalif Aieman Azriq berusia enam bulan.

Seorang lagi yang maut dalam kereta tersebut, Mohamad Rasyid Razali berusia 17 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here