KOTA TINGGI – Ibu kepada mangsa kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, hari ini tidak sangka panggilan video call dibuat cucunya tidak dijawab, merupakan petanda berlaku tragedi yang meragut empat nyawa sekali gus.
Masanah Buyong, 60, ibu kepada Aieman Azriq Ahmad, 22, antara empat yang maut dalam kemalangan tersebut, tidak menyangka panggilan tidak dijawab itu disebabkan nasib buruk menimpa mereka.
Dia berkata, anak sulung Aieman Azriq yang berusia tiga tahun memang selalu membuat video call untuk bertanya khabar.
“Anak sulung arwah memang rapat dengan saya dan suami kerana yang sulung memang kami bela dan jaga, kadang kala ada juga nenek atok sebelah sana ambil bawa balik Pasir Gudang.
“Cuma tadi anak sulung mereka biasanya kalau maknya tak ada, memang suka suruh atuknya buat video call, namun tadi bila buat video call pada tengah hari tidak berangkat pula tak sangka pula ketika itu mereka sudah terlibat kemalangan itu.
“Bagaimanapun saya reda dengan pemergian mereka. Semoga Allah tempatkan mereka bersama orang beriman,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Kejadian pukul 1 petang tadi, melibatkan kereta Toyota Vios dinaiki Aieman Azriq, isteri, anak keduanya dan seorang kenalan, masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan lori Isuzu.
Kemalangan itu menyebabkan Aieman Azriq dan isteri, Nurul Fazilah Noor Azmi masing-masing berumur 21 tahun dan anak mereka, Aryan Khalif Aieman Azriq berusia enam bulan maut.
Seorang lagi yang maut dalam kereta tersebut, Mohamad Rasyid Razali berusia 17 tahun.
Bercerita lanjut, Masanah berkata, dia dan suami menunggu kehadiran Aieman Azriq dalam hidup mereka selama 18 tahun.
“Selama 18 tahun saya menanti kehadiran Aieman dalam hidup kami tidak sangka dia akan pergi dahulu,” ujarnya.
Masanah berkata, Aieman Azriq adalah anak nombor tiga daripada empat beradik menetap bersamanya di Kampung Temenin Baru, di sini.
Katanya, pada awalnya dia mendapat tahu kejadian kemalangan itu daripada kumpulan WhatsApp keluarga yang memaklumkan anaknya terlibat nahas tersebut.
“Seorang lagi menantu lain kemudian hubungi saya sambil menangis menyuruh saya ke lokasi kejadian. Bila buka balik WhatsApp keluarga saya lihat mereka beritahu cucu saya sudah meninggal dunia.
“Kali terakhir saya berjumpa anak, menantu dan cucu pada malam tadi. Biasanya isterinya balik kerja pukul 6.30 dan ambil anaknya di rumah pengasuh.
“Malam tadi mereka keluar namun saya tidak tahu mereka ke mana. Kehilangan anak cucu menantu ini memang akan jadi kenangan tidak dilupakan kerana mereka duduk bersama saya dan lebih-lebih lagi untuk saya dapatkan Aieman ambil masa 18 tahun jarak dengan abangnya,” katanya.
Menurutnya, hasil perkahwinan anak dan menantunya itu dikurniakan dua cahaya mata dengan yang sulung adalah anak lelaki berusia tiga tahun.
Dia memaklumkan jenazah tiga beranak itu akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin. – MalaysiaGazette