KUANTAN – Tindakan menyembunyikan titah adendum berkaitan penahanan di rumah ke atas Datuk Seri Mohd Najib Razak dianggap memalukan sehingga memaksa Majlis Kesultanan Pahang mengutus surat berkenaan perkara tersebut, baru-baru ini.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pengesahan surat itu dilakukan Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman bertarikh 4 Januari lalu.
”Mengapa sampai kita memaksa tuanku sultan (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) buat begitu, apabila benda ini selama seorang sultan yang bijaksana, yang saya faham baginda begitu sifatnya mengambil tanggungjawab.
“Apa yang menyedihkan, kita semua tahu bahawa Sultan Pahang adalah seorang yang amat berhemah.
“Baginda memahami tanggungjawab dan mengarahkan Pengelola Bijaya Diraja untuk mengeluarkan surat pengesahan. Mengapa kita membiarkan perkara ini sehingga membebankan baginda,” katanya pada selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan titah adendum menyokong permohonan itu.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib Tun mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Menurut Saifuddin, kelewatan kerajaan bertindak menyebabkan peguam bekas Perdana Menteri itu menghantar surat kepada enam pihak berkaitan, bagaimanapun tiada satu pun mendapat maklum balas dan perkara tersbut terpaksa dibawa ke mahkamah.
”Pada pandangan saya, beban yang sengaja dicipta oleh kerajaan sendiri. Perkara ini sangat lurus. Ada titah andendum, kalau ada ambil tindakan, kalau tiada bagitahu tiada. Apa tindakan diambil kalau ada itu terserahlah.
”Pokok pangkal tuanku sultan telah mengeluarkan titah adendum. Tetapi tidak ada tindakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota. – MalaysiaGazette