KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menghentikan sepenuhnya penggunaan bahan berasaskan asbestos yang masih banyak digunakan di Malaysia, susulan risiko kesihatan dan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu melibatkan kajian semula perundangan dan dasar sedia ada bagi memastikan langkah pengawalan lebih berkesan.
“Kita akan lihat dari segi bagaimana perkara ini dinilai atau diuruskan dalam bentuk perundangan dan dasar sedia ada, sekiranya ada jurang, mungkin perlu tambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku beliau berjudul ‘Saving the Planet: Climate and Environmental Lessons from Malaysia and Beyond’, di sini, hari ini.
Menurut Nik Nazmi, Jabatan Alam Sekitar kini sedang menyiapkan kajian berhubung penggunaan asbestos serta kesannya terhadap kesihatan dan alam sekitar.
Pada Julai tahun lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyerahkan memorandum kepada kerajaan untuk mendesak pengharaman bahan berbahaya itu.
Tuntutan serupa pernah disuarakan CAP menerusi memorandum pada Mei 2001.
Asbestos, yang dikenali sebagai bahan kimia toksik, telah diharamkan di 69 negara termasuk Finland, Itali, Jerman, Australia, Jepun, dan Thailand setakat Oktober 2022, menurut Sekretariat Pengharaman Asbestos Antarabangsa (IBAS).
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga telah menyeru semua negara mengharamkan penggunaan asbestos sejak 2006.- MalaysiaGazette