IPOH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang giat berusaha untuk menarik minat tenaga pengajar tempatan yang berkhidmat di institusi pengajian tinggi di luar negara supaya kembali berkhidmat di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia telah digerakkan melalui beberapa siri perjumpaan dengan mereka termasuk yang berada di Jepun bagi mengenal pasti apa inisiatif yang boleh diambil dalam usaha berkenaan.
“Kita melihat negara Jepun mempunyai kehebatan dalam bidang teknikal, namun kita tidak sedar bahawa ada ramai pensyarah yang mengajar di universiti di sana adalah dalam kalangan anak Malaysia.
“Oleh sebab itu kira sedang berunding dan berbincang supaya mereka ini dapat kembali ke sini dan mengajar di institusi-institusi pendidikan di negara kita, terutama dalam bidang inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Projek Ubah Suai dan Menyiapkan Kampus Cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail serta Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah.
Menurut Zambry, anak tempatan yang mengajar di luar negara lazimnya adalah sebahagian daripada mereka yang melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan sama.
Jelas beliau, justeru KPT juga sedang melihat ke arah pelaksanaan mobiliti akademik yang membolehkan rakyat Malaysia berkenaan dapat terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
“Ada ilmu yang diperoleh dari negara luar misalnya dari negara seperti Jerman, boleh dikongsikan atau dibawa ke negara kita. Itu yang dimaksudkan mobiliti akademik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zambry memberitahu pihaknya juga sedang merangka strategi untuk memperkasakan institusi pendidikan politeknik termasuk mengkaji semula Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti.
Kata beliau, ia antara lain sebagai usaha untuk memastikan tenaga pengajar di institusi pendidikan berkenaan dapat merangka semula hala tuju perkembangan akademik mereka. – MalaysiaGazette