Anthony Loke.

GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan komited untuk memastikan kos pengambilan tanah bagi Projek Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kekal pada kadar nominal bagi mengurangkan beban kewangan kepada Kerajaan Pusat.

Menterinya, Anthony Loke berkata, meskipun Ketua Menteri Pulau Pinang berasal dari parti yang sama, beliau akan berunding dengan tegas bersama kerajaan negeri untuk memastikan kos tanah pada kadar berpatutan.

“Saya boleh memberikan keyakinan kepada Perdana Menteri, saya akan berunding sebagai Menteri Pengangkutan bukan atas kapasiti setiausaha agung parti (DAP).

“Saya akan mempertahankan kepentingan Kerajaan Pusat dalam urusan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis pecah tanah projek LRT tersebut.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, projek  LRT Laluan Mutiara ini bukan sekadar inisiatif tunggal tetapi merupakan komponen strategik dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang lebih luas.

“Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer merangkumi 21 buah stesen di lokasi-lokasi yang strategik termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A).

“Penjajaran yang bermula dari PSR-A merangkumi dua stesen terminus, iaitu di Penang Sentral dan KOMTAR. Kedua-dua laluan ini akan beroperasi secara selari menerusi penjadualan bergilir bagi memastikan perjalanan lebih lancar dengan masa perjalanan yang dioptimumkan.

“Salah satu penambahbaikan utama bagi Projek LRT Laluan Mutiara ini adalah sambungan stesen terminus dari KOMTAR ke Penang Sentral meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here