Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Terengganu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi. - Foto: trdi.my

KUALA LUMPUR – Bukan sesuatu yang mustahil untuk pemimpin Pas dilantik menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti dalam landskap politik Malaysia yang dinamik.

Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Terengganu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, dengan kepimpinan yang bijak, strategi berkesan dan kerjasama erat dengan pelbagai pihak, parti itu boleh memenuhi syarat-syarat dan berpotensi memegang jawatan Perdana Menteri.

Antara syarat itu, tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, pemimpin Pas sudah semestinya seorang Melayu dan Islam sejajar dengan demografi dan sensitiviti politik negara dalam melantik seorang Perdana Menteri.

Selain itu Pas juga mempunyai hubungan yang baik dengan istana dan sentiasa menjunjung kedaulatan institusi diraja seperti yang ditunjukkan di empat buah negeri di bawah pentadbiran Pas ketika ini.

“Seorang Perdana Menteri mesti dilihat sebagai adil dan saksama, tidak hanya kepada pengundi mereka tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Budaya politik matang dan sejahtera serta pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah berjaya menunjukkan keadilan dalam pemerintahan tanpa ada sentimen balas dendam pada kerajaan terdahulu dan bantuan diagihkan pada yang layak tanpa mengira warna politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Muhammad Fakhruddin, pemimpin Pas juga kreatif dalam mencari hasil untuk negara yang mana kemampuan untuk merancang dan melaksanakan strategi ekonomi yang mampan adalah penting bagi seorang Perdana Menteri.

“Ini termasuk mencari sumber pendapatan baharu dan memperkukuhkan ekonomi negara. Penubuhan SG4, pemerkasaan industri REE (nadir bumi), peningkatan hasil dan pelaburan di Kedah dan Terengganu menunjukkan kemampuan Pas untuk mentadbir dan mencari hasil yang baru untuk negara telah terbukti,” katanya.

Sebelum ini, timbul polemik berkenaan siapa yang selayaknya dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) selepas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin calon tunggal jawatan itu PN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon PM gabungan itu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu juga dipetik berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here