KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis mendapat kebenaran menyambung reman seorang pengurus akaun badan berkanun kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan wang untuk kegunaan peribadi bernilai kira-kira RM600,000.
Perintah sambung reman selama tiga hari sehingga 14 Januari itu dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi susulan tempoh reman asal terhadap suspek tamat pada hari ini.
Menurut sumber, suspek wanita berkenaan sebelum ini ditahan bersama seorang lagi kakitangan wanita badan berkanun berkenaan pada Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang berusia 30-an dan 40-an itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2024.
“SPRM Perlis juga telah menyita dan merampas barangan mewah termasuk barangan kemas berjumlah kira-kira RM100,000, dipercayai diperolehi hasil daripada perlakuan jenayah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette